Tips Cepat Hamil

Posted by webmaster 11/09/2019 1 Comment(s) Petua Amalan Tradisional,

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya menginginkan zuriat untuk mewarnai alam rumah tangga mereka. Hal ini kerana anak merupakan penyeri dan pengikat kasih antara suami dengan isteri.

 Berikut adalah beberapa tips yang boleh diamalkan untuk hamil dengan cepat.

 

A. Meningkatkan peluang kehamilan :

 

i. Kurangkan minuman berkafein

Terlalu banyak pengambilan kafein boleh menjejaskan kesuburan anda. Pengambilan kafein yang melebihi 500 mg sehari boleh membawa kesan negatif kepada tahap kesuburan wanita. Oleh itu, hadkan pengambilan kafein apabila anda sedang cuba hamil dan berhenti meminumnya serta-merta apabila mengandung.

 

ii. Makanan yang berkhasiat

Pemakanan yang berkhasiat dan berzat sangat penting untuk cepat hamil. Sebaiknya 70% makanan yang diambil adalah terdiri daripada buah-buahan atau sayuran yang segar. Elakkan pengambilan makanan yang manis dan junk foods kerana akan mengganggu  tahap kesuburan wanita dan kualiti keaktifan sperma lelaki.

 

iii. Kawal berat badan 

Berlebihan atau kekurangan berat badan boleh mempengaruhi kesuburan anda. Bagi wanita, kandungan lemak dalam badan mempengaruhi kitaran haid. Wanita berlebihan atau kekurangan berat badan mungkin mempunyai kitaran haid yang tidak menentu dan kurang berovulasi, sekaligus merendahkan peluang mereka untuk hamil. Oleh itu, pastikan berat badan anda berada pada tahap normal semasa mencuba untuk hamil. Amalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan rajin bersenam. 

 

iv. Jauhi alkohol

Anda tidak disarankan untuk mengambil minuman beralkohol jika sedang merancang untuk hamil kerana alkohol membawa kesan negatif seperti keguguran.

 

v. Berhenti merokok

Lelaki yang merokok mempunyai kualiti sperma dan kapasiti persenyawaan yang lebih rendah. Wanita yang merokok pula boleh menyebabkan kerosakan telur, lalu menjejaskan proses persenyawaan dan penempelan. Hentikan tabiat merokok sama ada lelaki atau wanita kerana ia menyumbang kepada ketidaksuburan dan mengambil masa yang lama untuk hamil.

 

vi. Pengambilan vitamin

Pengambilan vitamin atau makanan tambahan yang sesuai dapat meningkatkan kesuburan dan memudahkan untuk hamil. Antara vitamin yang boleh diamalkan adalah vitamin E dan vitamin C serta asid folik. 

 

vii. Pemeriksaan doktor lebih awal

Lebih 80% pasangan biasanya akan hamil dalam masa setahun selepas berkahwin. Oleh itu, jika anda mengalami masalah senggugut atau gangguan haid, anda boleh berjumpa doktor secepat mungkin untuk menjalankan pemeriksaan peranakan dan ujian kesuburan.

 

viii. Semak kesihatan bersama

Anda perlu memastikan status kesihatan suami isteri berada dalam keadaan terbaik. Buat rawatan sekiranya mempunyai sebarang penyakit.

 

ix. Berhenti mengambil pil pencegah kehamilan

Sebelum cuba meningkatkan peluang untuk hamil, berhenti makan sebarang pil pencegah kehamilan dengan segera. Pemakanan sebarang pil hormon yang boleh mencegah kehamilan juga harus dihentikan serta-merta.

 

 B. Kenali waktu subur :

 

i. Awasi kitaran haid

Anda mempunyai peluang hamil yang baik sekiranya pusingan haid teratur, iaitu antara 28-30 hari. Jika pusingan haid anda adalah 28 hari, waktu subur berlaku pada hari ke-14, manakala jika pusingan haid adalah 30 hari, waktu subur berlaku pada hari ke-16.

 

ii. Kaedah Basal Body Temperature (Suhu Badan Asas)

Kaedah suhu badan asas merupakan kaedah menentukan kesuburan melalui sejenis perancangan keluarga semulajadi. Suhu badan asas adalah suhu apabila anda berehat sepenuhnya. Wanita yang mengalami ovulasi boleh menyebabkan sedikit peningkatan suhu badan asas pada hari trsebut. Anda menjadi paling subur selama 2-3 hari sebelum suhu anda meningkat. Dengan mengetahui suhu badan asas setiap hari, anda dapat meramalkan waktu subur dengan mudah.

 

iii. Lendir faraj yang banyak dan berwarna jernih

Jika anda semakin hampir dengan waktu haid, anda melihat banyak lendir faraj berwarna jernih dan tidak berbau. Hal ini menandakan anda sedang subur. Lendir ini juga bermaksud kelenjar servik anda dalam keadaan sihat dan badan menghasilkan hormon estrogen dengan baik.

 

iv. Ovulation test

Anda dapat mengenal pasti waktu subur dengan menjalankan ovulation test. Sekiranya ujian tersebut positif, pastikan anda tidak membuang masa dan gunakan masa tersebut untuk bersama suami.

 

C. Perhubungan intim berterusan

 

i. Waktu terbaik untuk bersama

Melakukan hubungan seks sebelum waktu ovulasi lebih meningkatkan peratus kehamilan. Hal ini kerana telur yang matang hanya dapat hidup selama 24 jam, sedangkan sperma boleh hidup sehingga 48 atau 72jam dalam tubuh wanita.

 

ii. Elakkan penggunaan pelincir ketika bersama

Anda hendaklah mengelakkan penggunaan pelincir ketika bersama kerana ia akan membantutkan pergerakan sperma untuk berenang ke rahim. Keadaan ini menjadikan kebarangkalian untuk hamil adalah rendah.

 

iii. Berada dalam keadaan tenang

Ketenangan jiwa dan fikiran yang lapang pada kedua-dua suami dan isteri adalah sangat  penting untuk menjayakan kehamilan.

  • Lakukan senaman selama 30 minit sehari dengan berjalan kaki, berbasikal, berkebun, membasuh kereta dan sebagainya.
  • Membuat senaman yoga atau deep breathing exercise.
  • Sentiasa berzikir mengingati dan memuji Allah SWT.
  • Bijak mengawal emosi

1 Comment(s)

nur asyiqin:
27/12/2019, 08:38:04 AM, nurasyiqin201.blogspot.com
Reply

nice sharing thank you ;)

Leave a Comment